MAC 2024

Industri Buluh Berkembang Pesat, Syarikat, Komuniti Tempatan Digalak Tanam


KUCHING: Syarikat tempatan digalak menceburi penanaman buluh di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana buluh mempunyai banyak kegunaan dan sektor buluh semakin berkembang pesat pada masa ini.

"Bukan syarikat sahaja, komuniti tempatan juga boleh melibatkan diri dalam sektor ini," katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Derma Tahunan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini. 

Awang Tengah juga mahu pemain industri perkayuan negeri ini menghasilkan produk kayu yang mempunyai nilai tambah seperti kayu palet yang mempunyai pasaran luas dan berjaya dieksport ke Jepun, Korea dan Perancis.

Katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga dijangka melawat sebuah loji tenaga yang dijana melalui kayu palet selepas Aidilfitri nanti.